Indonesia berkas pelarian AS

JAKARTA, 16 JUN – Seorang pelarian Amerika yang dikehendaki di negaranya berkaitan dengan penipuan AS$700 juta mata wang kripto, ditangkap di Jakarta atas dakwaan seks, pihak berkuasa Indonesia mengatakan hari ini.

Russ Medlin yang memasuki negara Asia Tenggara itu melalui visa pelancong tahun lalu, ditangkap di ibu negara selepas tiga remaja perempuan mendakwa dia membayar mereka untuk melakukan hubungan seks.

Jika sabit kesalahan di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia, Medlin boleh berdepan penjara sehingga 15 tahun, menurut polis, menambah bahawa mereka merampas lebih daripada AS$20,000 wang tunai daripada suspek.

“Selepas penangkapan, kami memeriksa identitinya,” kata jurucakap polis, Yusri Yunis memberitahu wartawan hari ini, menambah Medlin dicari oleh agensi penguat kuasa undang-undang asing.

Menurut laman web pesalah seks Negeri Nevada, AS, Russ Albert Medlin disenaraikan sebagai pesalah ‘tidak patuh’ tahap dua – kedua paling serius – melalui satu alamat di Las Vegas. – AFP