Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Indonesia berusaha tangani FMD haiwan

    JAKARTA, 15 MEI – Indonesia berusaha untuk mengatasi kemunculan semula Penyakit Kaki dan Mulut (FMD) di kalangan haiwan seperti lembu, kambing, khinzir dan biri-biri.

    Sejak beberapa minggu kebelakangan, ribuan lembu di enam buah daerah di Aceh dan wilayah Jawa Timur dilaporkan telah dijangkiti dengan virus yang mudah berjangkit menyebabkan kematian lebih belasan ekor lembu. Kali pertama disahkan ditemui di daerah Gresik, Jawa Timur pada 28 April lalu.

    Penularan itu kebetulan berlaku semasa cuti Aidilfitri ketika jutaan penduduk di negara itu pulang ke kampung halaman.

    Sebelum penularan tersebut, Indonesia bebas daripada FMD sejak 1986, status yang diiktiraf oleh Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) pada 1990.

    Sebagai respons terhadap penularan, Kementerian Pertanian Indonesia telah mengambil beberapa langkah untuk membendung wabak ke atas haiwan.

    Para penternak membawa binatang ternakan mereka mencari barang kitar semula di Aceh. Indonesia berusaha mengawal semula penularan FMD di kalangan haiwan di beberapa buah kawasan. – AFP

    Pihak kementerian pada awal minggu ini mengeluarkan perintah darurat ke atas enam buah daerah di Aceh dan Jawa Timur yang dikatakan sebagai zon penyakit FMD. Perintah berkurung bagi sektor penternakan di wilayah tersebut telah dikenakan kerana ia mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan haiwan dan perdagangan.

    “Wilayah-wilayah berkenaan kini di bawah pengawalan kami sepenuhnya agar penyakit itu ‘tidak bermutasi besar-besaran,” kata Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo semasa sidang media pada Rabu.

    FMD adalah salah satu wabak terburuk di dunia yang berlaku ke atas haiwan, tersebar melalui sentuhan secara langsung di kalangan haiwan, produk haiwan, melalui pemindahan mekanikal dan melalui udara.

    Semasa sidang media tersebut, pihak kementerian menekankan bahawa jabatannya ketika ini sedang membangunkan vaksin FMD mereka sendiri untuk lembu dan ia akan siap sepenuhnya dalam tempoh kurang 20 hari.

    Buat masa ini, Limpo berkata pihak kementerian akan menggunakan vaksin import ke atas lembu dan mengagihkan ubat-ubatan, antibiotik, vitamin, penggalak imun dan penyembur nyahkuman kepada penternak. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...