Indonesia buka separa ibu negara

JAKARTA, INDONESIA, 8 JUN – Ibu negara Indonesia dibuka separa hari ini selepas dua bulan perintah berkurung, ketika negara keempat padat penduduk dunia itu secara beransur-ansur membuka semula ekonominya.

Jakarta, kediaman kepada 11 juta orang, dikenakan langkah sekatan sosial besar-besaran semenjak 10 April lalu.

Pejabat, restoran dan kedai-kedai runcit dibuka semula dengan hanya 50 peratus pekerja dan pelanggan dibenarkan. Perkhidmatan pengangkutan awam juga disambung semula.

Pada Jumaat lalu, semua kemudahan ibadat di negara majoriti Muslim itu termasuk masjid dibenarkan dibuka semula dengan separuh kapasiti dan pengamalan penjarakan sosial.

Sekolah bagaimanapun masih ditutup semasa fasa peralihan bulan ini yang digelar normal baharu, dengan sebahagian kompleks membeli-belah, zoo dan pantai-pantai akan dibuka semula minggu depan.

Penumpang kereta api MRT di Jakarta memakai penutup mulut dan hidung di dalam koc. Ibu negara Indonesia, Jakarta kelmarin dibuka separa selepas dua bulan perintah berkurung, meskipun ia masih lagi mencatatkan peningkatan kes. – AP

Imej-imej di media sosial menunjukkan barisan panjang orang ramai yang menunggu untuk menaiki kereta api kembali ke Jakarta, sebahagian besarnya tidak mengendahkan peraturan penjarakan sosial.

Meskipun pembukaan itu, Indonesia terus mencatatkan peningkatan COVID-19 apabila 32,000 kes dicatatkan hari ini dengan jumlah kematian sebanyak 1,883 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 847 tambahan kes positif baharu dan 32 lagi kematian berlaku.

“Kes positif kini berjumlah 32,033 manakala sebanyak 14,010 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Menurut Achmad Yurianto, bagi tempoh 24 jam juga, seramai 406 pesakit sembuh, menjadikan mereka yang sembuh sehingga kini berjumlah 10,904 orang. – AP/Bernama