Indonesia catat kes baharu tertinggi, kematian kini 1,923 orang

JAKARTA, 9 JUN – Indonesia mencatatkan kes positif COVID-19 baharu tertinggi dalam tempoh 24 jam iaitu sebanyak 1,043 kes, jumlah tertinggi sejak kes pertama virus itu dikesan pada 2 Mac lepas.

Jumlah keseluruhan kes positif di Indonesia kini menjangkau 33,076 kes, manakala jumlah kematian meningkat kepada 1,923 orang, dengan 40 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, seramai 14,108 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19.

Menurutnya provinsi Jakarta yang melonggarkan sekatan,   juga kembali mencatatkan peningkatan kes baharu iaitu sebanyak 232 kes, dengan empat lagi kematian, selepas mencatatkan kes baharu di bawah angka 100 dan sifar kematian sejak akhir bulan Mei. – Bernama

Ahli Palang Merah Indonesia menyembur disenfaktan dalam cubaan mengekang penularan koronavirus dalam bilik darjah di Jakarta, ketika provinsi itu mencatatkan peningkatan dalam kes COVID-19 selepas pelonggaran sekatan. – AP