Indonesia catat lebih 1,100 kes baharu, Singapura 191

JAKARTA/SINGAPURA, 24 JUN – Kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 49,000 setelah 1,113 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 38 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan 2,573 kematian.

“Kes positif kini 49,009 manakala sebanyak 13,069 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya pada sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Sementara Singapura yang kini berada pada hari keenam fasa kedua pembukaan semula, hari ini mengesahkan 191 lagi kes jangkitan COVID-19, dengan tujuh melibatkan kes dalam komuniti.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah jangkitan COVID-19 di negara itu kepada 42,623 kes.– Bernama