Indonesia catat lebih 11,000 kes, Filipina kesan satu varian

JAKARTA/FILIPINA, 13 JAN – Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi jangkitan baharu COVID-19, selepas merekodkan lebih 11,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Rekod kematian bagi virus itu juga tertinggi selepas mencatatkan 306 lagi kematian, menjadikan kematian keseluruhan di seluruh republik itu kini 24,951 orang.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, covid19.go.id. hari ini, kes positif baharu COVID-19 bagi tempoh 24 jam itu adalah sebanyak 11,278 kes, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 858,043 kes.

Sementara itu Filipina hari mengesahkan kes pertama varian baharu yang mudah berjangkit yang pada awalnya ditemui di Britain.

Jabatan Kesihatan (DOH) dan Pusat Genom Filipina (PGC) berkata varian koronavirus B.1.1.7 itu dikesan ke atas seorang lelaki Filipina yang tiba dari Emiriah Arab Bersatu pada 7 Januari.

Pesakit itu meninggalkan Dubai pada 27 Disember 2020 bagi urusan perniagaan dan tiba di Filipina menerusi penerbangan Emiriah.

Pesakit berkenaan tiba bersama rakan wanitanya namun rakannya itu diuji negatif virus terbabit, tambah DOH.

Filipina telah menyekat pengunjung yang mempunyai sejarah perjalanan ke Britain dan 32 negara lain dan rantau-rantau untuk mencegah strain baharu daripada merebak di negara itu.

Setakat ini, kerajaan Filipina telah mengesahkan sebanyak 492,700 kes COVID-19 dengan 9,699 kematian. – Bernama/Xinhua

Kakitangan kesihatan ketika melakukan ujian swab ke atas seorang wanita di Manila, Filipina pada 12 Januari. – Xinhua