Indonesia dilanda gempa, lebih 40 maut

JAKARTA, 15 JAN – Gempa bumi kuat yang menggegarkan kepulauan Sulawesi Indonesia hari ini telah mengorbankan kira-kira 42 orang, meranapkan hospital dan beberapa bangunan lagi musnah, kata pihak berkuasa ketika mereka memberi amaran masih ramai yang terperangkap di bawah runtuhan.

Ratusan orang lagi cedera ketika gempa melanda awal pagi tadi, mencetuskan kepanikan dalam kalangan penduduk yang ketakutan di pulau yang pernah dilanda gempa bumi besar dan tsunami dua tahun lalu, yang meragut ribuan jiwa.

Setakat ini, 34 mayat telah dikeluarkan dari bangunan runtuh di Mamuju, sebuah bandar dengan 110,000 penduduk di wilayah Sulawesi Barat, sementara lapan lagi terbunuh di selatan kawasan itu.

“Kami tidak tahu berapa ramai lagi yang hilang. Masih ramai yang terperangkap di bawah runtuhan,” kata Arianto dari agensi penyelamat di Mamuju.

Para penyelamat masih lagi mencari puluhan pesakit dan kakitangan kesihatan yang terperangkap di bawah hospital Mamuju.

Para penyelamat mencari mangsa di bangunan yang runtuh di bandar Mamuju selepas gempa bumi berukuran 6.2 magnitud menggegarkan pulau Sulawesi, Indonesia pada 15 Januari. – AFP

“Hospital menjadi ranap…ia runtuh,” kata Arianto.

Awal pagi ini, para penyelamat berkata mereka juga cuba untuk menghubungi lapan sekeluarga yang masih lagi terperangkap di rumah mereka.

Sebuah hotel sebahagiannya terjejas, sementara pejabat gabenor serantau juga mengalami kerosakan teruk selepas gempa melanda pada jam 2:18 pagi waktu tempatan. Imej-imej dari tempat kejadian menunjukkan penduduk bergegas pindah jauh dari bandar tepi laut ketika mereka melintasi serpihan bumbung besi yang remuk dan puing-puing bangunan yang bertaburan di tepi-tepi jalan. Namun tanah runtuh yang tercetus akibat hujan lebat dan gempa telah menyekat akses utama jalan keluar dari Mamuju.

Agensi meteorologi memberi amaran kepada penduduk yang kawasan itu mungkin akan dilanda susulan gempa kuat dan perlu menjauhi kawasan pantai yang dikhuatiri berlaku tsunami.

“Gempa susulan mungkin berlaku lebih kuat daripada gempa pagi ini, memungkinkan untuk terjadinya tsunami…Jangan tunggu tsunami datang kerana ia boleh terjadi sangat pantas,” kata Dwikorita Karnawati, ketua agensi meteorologi.

Amaran tersebut sekali gus telah mencetuskan kebimbangan di bandar tersebut. “Semua orang panik,” kata penduduk Mamuju, Zulkifli Pagessa kepada AFP.

Lapangan terbang bandar itu juga musnah, kata pihak berkuasa. Palang Merah Indonesia berkata pasukannya berkejar ke tempat kejadian bagi memberi bantuan perubatan dan bekalan serta membantu mencari mangsa terperangkap. – AFP