JAKARTA, 5 DIS – Indonesia telah mengeksport basikal elektrik bernilai AS$500,000 dari Sidoarjo, Jawa Timur, ke pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Menteri Perdagangan, Budi Santoso, dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa lalu menyatakan bahawa eksport produk basikal elektrik itu adalah bukti nyata kemampuan industri Indonesia dalam pasaran hiliran. Menurut beliau, Indonesia membuktikan kemampuannya untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi dan menambah nilai bagi memenuhi permintaan pasaran global.
Budi turut menekankan bahawa kebanyakan komponen utama basikal elektrik yang dieksport itu dihasilkan dan dipasang secara domestik.
Kementerian Perdagangan kini sedang mengutamakan dan mengembangkan program peluasan pasaran eksport yang bertujuan untuk meningkatkan perjanjian perdagangan dengan negara rakan kongsi.
Budi berharap kejayaan dalam eksport basikal elektrik itu dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak perniagaan Indonesia untuk mengeksport produk bernilai tambah dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. – Xinhua