Indonesia gesa Taliban kotakan janji terhadap rakyat Afghanistan

JAKARTA, 20 DIS – Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi (gambar-Bernama) menggesa Taliban mengotakan janjinya terhadap rakyat Afghanistan selepas kumpulan itu mengambil alih pentadbiran dan pengunduran tentera Amerika Syarikat Ogos lepas. 

Beliau berkata demikian semasa bertemu dengan wakil Taliban, Amir Khan Muttaqi, di Islamabad, Pakistan sempena Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kelmarin.

Pada 17 Ogos lepas, Taliban berjanji untuk memberi “pengampunan” kepada penduduk di Afghanistan, menyeru rakyat kembali bekerja, wanita dibenarkan menyertai pentadbiran kerajaan dan kanak-kanak perempuan boleh ke sekolah.

Pada mesyuarat luar biasa itu, Indonesia meminta OIC untuk menunjukkan solidaritinya dan mengambil tindakan konkrit bagi mencegah krisis kemanusiaan bertambah buruk di Afghanistan.

“OIC mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu rakyat Afghanistan,” kata Retno sambil  mengetengahkan mengenai isu memperkasa wanita dan menyatakan kesediaan Indonesia menyokong usaha Duta Khas OIC untuk Afghanistan.

Indonesia turut berikrar untuk terus membantu rakyat Afghanistan, termasuk dalam menyalurkan bekalan makanan.

Bagaimanapun, Retno menegaskan “sebarang inisiatif OIC akan sukar dilaksanakan jika pihak Taliban sendiri tidak memenuhi janji mereka”. – Bernama