Indonesia haramkan aktiviti sekitar Gunung Merapi

JAKARTA, 14 OGOS – Pihak berkuasa Indonesia melarang penduduk dan pendaki melakukan aktiviti dalam lingkungan 3 kilometer dari kemuncak Gunung Merapi kerana gunung berapi yang terletak antara wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta memuntahkan lahar panas pada pagi ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Gunung Merapi memuntahkan lahar panas itu sejauh 950 meter, menuju ke hulu Sungai Gendol di kawasan sempadan kedua-dua wilayah pada pukul 4:52 pagi waktu Jakarta, kata jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) Agus Wibowo.

Pelepasan lahar panas dari kawah Merapi berlaku selama kira-kira 95 saat dan dicatat memiliki amplitud maksimum 50 millimeter.

Gunung berapi itu, yang berada pada ketinggian 2,968 meter di atas paras laut, telah menunjukkan peningkatan aktiviti volkanik sejak beberapa hari lepas dengan 10 gegaran tanah kuat dicatat dalam pelbagai kekuatan pada Sabtu.

“Semua aktiviti mendaki gunung, kecuali bagi tujuan penyelidikan dan mitigasi, adalah tidak disyorkan.

“Penduduk dinasihati berwaspada berhubung aktiviti volkano yang semakin meningkat,” kata Agus dalam satu kenyataan merujuk kepada larangan itu yang diguna pakai susulan perkembangan terkini. – Bernama