Indonesia hentikan pencarian korban runtuhan lombong emas

JAKARTA, 7 Mac – Indonesia menghentikan pencarian hari ini untuk korban insiden lombong runtuh minggu lalu di pulau Sulawesi dan menganggarkan angka kematian daripada insiden tersebut meningkat kepada 27 orang, kata seorang pegawai, meskipun puluhan lagi mangsa masih dikhuatiri hilang.

Para penyelamat terpaksa berhenti menggunakan pengorek apabila keadaan semakin teruk dan keadaan tanah di kawasan berkenaan menjadi semakin tidak stabil.

“Apa yang dapat kami rumuskan ialah kami tidak mungkin dapat meneruskan pencarian mangsa di kawasan ini memandangkan keadaan tanah di sini semakin tidak stabil, sekali gus berkemungkinan akan memberi risiko keselamatan yang sangat berbahaya kepada para penyelamat,” kata pejabat agensi pengurangan bencana setempat, Abdul Muin Paputungan kepada AFP.

“Kami memutuskan untuk menamatkan pencarian mangsa runtuh di sini hari ini.”

Mayat 27 pelombong telah ditemui dalam bencana yang berlaku pada 26 Februari itu, manakala 18 lagi dikeluarkan dengan keadaan selamat, kata Paputungan.

Para penyelamat berdepan dengan misi pencarian yang sukar memandangkan keadaan runtuhan tersebut yang agak curam dan tanah yang tidak stabil serta berbahaya.

Ia masih tidak jelas berapa banyak pelombong yang masih berada di dalam kawasan bencana itu. Agensi penyelamat berkata beberapa pelombong melaporkan ia boleh dianggarkan sehingga 100 orang.

Kemalangan itu berlaku di rantau Bolaang Mongondow, Sulawesi Utara, di mana lima pelombong terbunuh pada Disember lalu selepas kemalangan lombong emas yang sama.

Indonesia yang kaya dengan sumber alam mempunyai banyak lombong yang tidak berlesen dan ramai yang tidak menghiraukan prosedur keselamatan. – AFP