Indonesia intai jurulatih hoki dari Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 MEI – Pengarah teknikal baharu pasukan hoki kebangsaan Indonesia Muhammad Dharma Raj Abdullah bercadang mendapatkan khidmat jurulatih dari Malaysia dalam misi mengubah nasib sukan hoki republik itu.

Bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara itu berkata ramai jurulatih tempatan telah menunjukkan minat untuk ke Indonesia bagi menguji kemahiran membimbing pasukan, selain mencari cabaran baharu.

Beliau juga tidak teragak-agak membawa masuk ramai jurulatih dari Malaysia jika diberi peluang melakukannya memandangkan terdapat keseluruhan 34 wilayah di Indonesia dengan 17 daripadanya aktif dalam sukan hoki.

“Agak mustahil untuk saya seorang diri membangunkan hoki Indonesia, jika ada peluang membawa masuk seberapa ramai jurulatih dari Malaysia ke sini saya rasa ia sangat mudah untuk mereka (jurulatih),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. – Bernama