Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Indonesia kaji semula sesi pembelajaran bersemuka

    JAKARTA, 2 FEB – Angka kes harian COVID-19 dilaporkan terus meningkat di sekolah, mengakibatkan pihak berkuasa Indonesia melancarkan penilaian menyeluruh terhadap sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah (PTM).

    Presiden Joko Widodo meminta pihak berkuasa di tiga wilayah iaitu Banten, Jakarta dan Jawa Barat yang merekodkan bilangan kes tertinggi untuk menilai pelaksanaan PTM.

    Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi meminta penilaian itu dibuat ketika sesi mesyuarat secara maya di Kalimantan Timur pada Isnin.

    Mesyuarat secara maya itu diadakan bagi membuat penilaian perintah kawalan pergerakan (PPKM).

    “Saya ingin menekankan kes aktif telah meningkat… Kita mesti terus berwaspada,” media memetik beliau sebagai berkata.

    Indonesia melaporkan 16,021 kes baharu jangkitan COVID-19 kelmarin, melonjak daripada 274 kes pada 1 Januari, didorong oleh varian Omicron. Sebanyak lima kematian dicatatkan akibat varian itu setakat ini.

    Kakitangan kesihatan menjalankan ujian koronavirus di stesen kereta api Bekasi, timur Jakarta pada 2 Februari susulan angka kes harian COVID-19 meningkat. – AFP

    Hampir sebulan selepas sesi persekolahan bermula di Jakarta, 98 sekolah di ibu negara telah ditutup selama lima hari kerana wabak berkenaan.

    Gabenor Jakarta Anies Baswedan berkata kerajaan tempatan sedang memantau keadaan itu, dan beliau tidak menolak kemungkinan sesi PTM digantung sementara jika warga sekolah berisiko tinggi dijangkiti virus itu.

    Pada 3 Januari, Indonesia membuka semula 264,704 atau 59 peratus sekolah, melibatkan 33,497,256 pelajar dengan kapasiti 100 peratus di bawah syarat-syarat ketat.

    Pihak berkuasa memutuskan tindakan berkenaan selepas 80 peratus guru telah menerima dua dos vaksin, dan 80 peratus pelajar telah menerima suntikan dos pertama manakala 58 peratus daripada mereka telah lengkap divaksin.

    Penutupan sekolah ketika pandemik telah menyebabkan kebimbangan mengenai pembelajaran generasi COVID-19.

    Ketika kerajaan di seluruh dunia menimbang risiko kesihatan membuka semula sekolah pada Disember lepas, pengarah eksekutif UNICEF Henrietta Fore memberi amaran penutupan sekolah harus menjadi langkah terakhir meskipun varian Omicron sedang menular.

    Selain ketinggalan pelajaran, beliau berkata kanak-kanak juga telah kehilangan persekitaran selamat di sekolah, interaksi harian dengan rakan-rakan, akses kepada penjagaan kesihatan, dan hidangan berkhasiat mereka pada hari itu.

    “Kerajaan harus meningkatkan pelaburan dalam liputan digital bagi memastikan tiada kanak-kanak tertinggal,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...