Indonesia kembalikan 210 tan sampah

JAKARTA, 9 JULAI – Indonesia berkata hari ini ia akan mengembalikan lebih daripada 210 tan sampah ke Australia, tatkala negara Asia Tenggara itu menolak untuk menjadi tempat pembuangan untuk sampah asing.

Lapan kontena yang dirampas di bandar Surabaya sepatutnya mengandungi kertas sampah sahaja, namun pihak berkuasa juga menemui bahan berbahaya dan sampah rumah termasuk botol plastik dan pembungkus, lampin terpakai, sampah elektronik dan tin, beritahu jurucakap untuk agensi kastam Jawa Timur kepada AFP.

Susulan pemeriksaan, kementerian alam sekitar Indonesia mencadangkan ‘barangan berkenaan dieksport semula,’ kata agensi dalam satu kenyataan berasingan semalam.

“Ia dilakukan untuk melindungi orang awam dan alam sekitar Indonesia, terutamanya di Jawa Timur, daripada bahan buangan B3,” tambahnya, merujuk kepada bahan berbahaya dan toksik.

Syarikat Australia Oceanic Multitrading menghantar bahan buangan ke Indonesia dengan bantuan dari firma Indonesia PT. MDI, kata pihak berkuasa.

Keputusan China pada 2018 untuk mengharamkan import bahan buangan plastik asing mencetuskan keadaan kelam-kabut untuk proses kitar semula, meninggalkan negara maju bergelut untuk mencari tempat untuk menghantar bahan buangan mereka. – AFP

Seorang pegawai kastam Indonesia memegang surat khabar daripada sebuah kontena yang dipenuhi sampah dari Australia, bukan sahaja mengandungi kertas sampah, namun bahan berbahaya dan sampah rumah, di pelabuhan di Surabaya kelmarin. – AFP