Indonesia ketat peraturan telefon pintar

JAKARTA, 21 OKT – Indonesia mengeluarkan peraturan baharu mewajibkan semua telefon pintar perlu berdaftar dengan Identiti Peralatan Mudah Alih Antarabangsa (IMEI) untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data kerajaan bagi mengekang import telefon pintar secara haram, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Rudiantara pada Jumaat berkata, peraturan itu akan mula berkuat kuasa 18 April tahun depan. Di bawah peraturan itu, operator telefon mudah alih tempatan tidak boleh menerima pelanggan yang tidak berdaftar.

Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Kementerian Industri dan Kementerian Perdagangan telah bekerjasama untuk mengintegrasikan peraturan dalam usaha memastikan kerajaan tidak kehilangan hasil cukai jualan telefon mudah alih, kata Rudiantara kepada Antara. – Bernama