Indonesia komited kurangkan pelepasan gas rumah hijau

KUALA LUMPUR, 7 DIS – Indonesia komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 29 peratus di atas usaha sendiri dan 41 peratus dengan sokongan antarabangsa menjelang 2030.

Menteri Kewangan Indonesia Dr Sri Mulyani Indrawati berkata kementeriannya komited untuk menyokong pembiayaan dalam usaha itu selaras dengan integrasi Polisi Pembangunan Rendah Karbon Indonesia kepada Pelan Pembangunan Nasional Jangka Sederhana, Pelan Tindakan Nasional untuk Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau dan Pelan Tindakan Nasional untuk Penyesuaian Perubahan Iklim.

“Sejak lima tahun lalu, kerajaan secara konsisten memperuntukkan sekitar 4.1 peratus pembiayaan melalui Penandaan Anggaran Perubahan Iklim (CBT) terhadap iklim,” katanya dalam ucapan khas di Sidang Kemuncak Pasaran Modal Islam Antarabangsa 2021 (ICMS2021), secara maya anjuran Pusat Penyelidikan dan Latihan (CERT).

Kerajaan Indonesia membangun dan melaksanakan inisiatif CBT sejak 2016 bagi mengesan jumlah perbelanjaan kerajaan untuk tindakan perubahan iklim daripada belanjawan negara.

Bagaimanapun, Sri Mulyani berkata jumlah itu hanya mampu membiayai 34 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diperlukan untuk mencapai Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) Indonesia, yang menggariskan peralihan kepada negara rendah karbon dan daya tahan iklim pada masa depan. – Bernama