JAKARTA, 8 SEPT – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol bertemu dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo hari ini dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan kerjasama pertahanan ketika ketegangan geopolitik global semakin memuncak.
Yoon yang berada di ibu kota Indonesia, Jakarta, sejak Selasa bagi menghadiri sidang kemuncak tiga hari pemimpin-pemimpin ASEAN bersama-sama dengan rakan-rakan Asia dan Barat. Pertemuan tersebut mengetengahkan konflik utama di Asia, dengan menggesa penyelesaian damai dan terkawal.
Presiden Indonesia dan isteri, Iriana, menghoskan Presiden Korea Selatan dan Wanita Pertama, Kim Keon Hee pada upacara di Istana Merdeka di Jakarta.
Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan industri pertahanan serta memperluaskan kerjasama dalam industri masa hadapan seperti kenderaan elektrik, bateri dan bandar pintar.
Menteri Hal Ehwal Luar Indonesia, Retno Marsudi, memberitahu wartawan selepas pertemuan itu bahawa Joko Widodo mengalu-alukan komitmen yang buat oleh syarikat Korea Selatan, LG, dan rakannya di Indonesia untuk ‘mempercepatkan realisasi pakej pelaburan besar bernilai A$9.8 bilion untuk pembinaan kilang katod’ di Pulau Batam Indonesia, bersebelahan Singapura.
Dia menambah pembinaan kilang itu dijangka bermula pada tahun ini, melibatkan syarikat-syarikat yang dimiliki kerajaan Indonesia dan perniagaan serantau. Katod merupakan komponen penting dalam penghasilan bateri global bagi kenderaan elektrik.
Kedua-dua pemimpin hari ini mengambil bahagian dalam menandatangani perjanjian mengenai pertanian, infrastruktur, ekosistem kenderaan elektrik dan eksport makanan, dan membincangkan kemungkinan pelaburan Korea di ibu kota baharu. Indonesia merancang untuk memindahkan ibu negaranya dari bandar Jakarta yang sesak dan tercemar di pulau utama Jawa ke Nusantara di pulau Borneo tahun depan. – AP
