Indonesia lepasi 250,000 kes, hospital penuh

JAKARTA, 22 SEPT – Indonesia mencatatkan 4,071 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kini meningkat kepada 252,923, ketika hospital utama di ibu negara dilaporkan penuh, dengan 20 senarai pesakit virus itu menunggu untuk mendapat rawatan kerana peningkatan kes.

Berdasarkan data yang disiarkan dalam laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 109,721 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini, sebanyak 160 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 9,837 orang.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan tekanan di ibu negara yang mempunyai populasi 20 juta orang itu, kerajaan menyediakan lebih banyak bilik di Wisma Atlet Jakarta iaitu kediaman atlet yang ditukar menjadi hospital untuk pesakit COVID-19 dengan gejala ringan.

Kerajaan juga menggunakan hotel tiga bintang di ibu negara sebagai pusat kuarantin bagi pesakit tanpa gejala. Bandar raya itu mempunyai 190 hospital, menurut Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Awal bulan ini, jurucakap COVID-19 Indonesia, Wiku Adisasmito, berkata 67 hospital rujukan COVID-19 di Jakarta mempunyai pesakit sebanyak 77 peratus, dengan 69 peratus berada di unit rawatan rapi (ICU).

Enam hospital khas COVID-19 pula menyatakan jumlah pesakit sedia juga meningkat sejak bulan Ogos. Ketika ini, Hospital Pasar Minggu mempunyai senarai menunggu kes COVID-19 seramai 20, di mana 220 katil penuh dan 80 katil sedang disediakan.

Hospital Pertamina pula mengesahkan 13 pesakit sedang menunggu rawatan dengan 300 katil dipenuhi pesakit COVID-19, manakala kapasiti di hospital swasta Medistra juga penuh sejak dua minggu lalu. – Bernama/Agensi

Gambar dari udara menunjukkan Wisma Atlet yang dijadikan hospital kecemasan bagi pesakit COVID-19 di Jakarta, Indonesia ketika negara itu mencatatkan penambahan kes jangkitan manakala hospital-hospital kebanyakan penuh. – Xinhua