Indonesia lepaskan kapal, kru Korea Selatan

JAKARTA, 17 JAN – Indonesia telah melepaskan sebuah kapal yang membawa anggota kru rakyat Korea Selatan pada Jumaat selepas ditahan kira-kira 100 hari kerana melanggar wilayah perairan, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber diplomatik.

Kapal pengangkut milik Panama yang membawa gas petroleum cecair (LPG), yang dinamakan sebagai DL Lily, telah dirampas oleh Tentera Laut Indonesia pada 9 Oktober.

Berada di atas kapal itu ialah seorang kapten rakyat Korea Selatan, lapan kelasi dari negara sama dan lapan kelasi rakyat Indonesia.

Kapten itu mendapat semula dokumen berkaitan termasuk pasport dan diberikan kebenaran berlepas oleh pihak berkuasa Indonesia, menurut syarikat yang memiliki kapal tersebut dan kedutaan Korea Selatan di Indonesia.

Kapal pengangkut LPG itu dalam perjalanan ke Singapura ketika dirampas. Pihak berkuasa Korea Selatan merancang untuk melakukan siasatan berhubung insiden itu selepas kapal tersebut tiba di Singapura pada Sabtu.

Sebuah lagi kapal kargo Korea Selatan, yang dinamakan sebagai CH Bella, masih ditahan di Indonesia atas dakwaan yang sama. Kapal itu, yang membawa empat rakyat Korea Selatan dan 19 rakyat Indonesia, telah dirampas minggu lepas.

“Kami kini bekerjasama rapat dengan Tentera Laut Indonesia dalam isu ini,” kata seorang atase tentera di kedutaan Korea Selatan di Indonesia. – Bernama