KUALA LUMPUR, 1 DIS – Indonesia secara rasmi telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 2021 di Solo, Indonesia, tahun depan bagi memastikan kesinambungan temasya dwitahunan itu, susulan tindakan Vietnam menarik diri daripada penganjuran temasya tersebut.
Temasya itu sebelum ini dijadualkan di Hanoi bulan ini.
Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu diambil pada mesyuarat tergempar Lembaga Gabenor APSF (BoG) yang berlangsung secara maya selepas majoriti anggota BoG bersetuju untuk melantik hos alternatif Sukan 2021 itu.
“BoG telah memberi Indonesia sehingga akhir bulan ini untuk menyerahkan semua dokumen yang diperlukan, keperluan dan pelan persediaan untuk mengambil alih tugas penganjuran tersebut.
“Perbincangan teliti yang meliputi aspek persiapan termasuk penempatan, klasifikasi, doping, isu sukan dan teknikal, fasiliti, langkah-langkah kesihatan dan keselamatan COVID-19 akan dilaksanakan oleh APSF. BoG akan berjumpa semula pada 14 Jan 2022 untuk memutuskan perkara tersebut,” menurut kenyataan itu.- Bernama