Indonesia lulus projek solar Australia

JAKARTA, 23 SEPT – Indonesia meluluskan sambungan tenaga solar gergasi antara Australia dan Singapura selepas perjanjian pelaburan bernilai AS$2.5 bilion dimeterai, kata pihak berkuasa hari ini.

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu telah bersetuju untuk membenarkan laluan Australia-Asia PowerLink Sun Cable atau AAPowerLink melalui perairan Indonesia dan meluluskan kebenaran tinjauan bawah laut.

“Kami menjangkakan projek ini akan mempunyai impak mapan terhadap ekonomi kami menerusi pelbagai program pemerolehan yang akan memberi manfaat kepada industri dan pendapatan kerajaan,” kata menteri penyelaras maritim dan pelaburan, Luhut Binsar Panjaitan semasa sidang media secara maya di Jakarta.

AAPowerLink akan menjana elektrik solar dari salah satu projek ladang solar terbesar di dunia dan menghantarnya dari Darwin ke Singapura bermula tahun 2028.

Projek itu dijangka akan membekalkan sekitar 15 peratus keperluan elektrik Singapura dan mengurangkan pelepasan karbon negara itu sekitar enam juta tan setahun.

Syarikat itu tidak akan membekalkan tenaga diperbaharui secara langsung kepada Indonesia namun menjanjikan sekitar AS$1 bilion dalam pelaburan langsung bagi pemerolehan peralatan dan perkhidmatan serta tambahan AS$1.5 bilion dalam perbelanjaan operasi sepanjang projek itu berlangsung.

“Kami sangat teruja mengumumkan yang projek ini akan melaburkan sejumlah AS$2.58 bilion kepada Indonesia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sun Cable, David Griffin.

“Kami mahu projek terkemuka dunia ini mencipta perubahan penting dalam keupayaan Indo-Pasifik untuk mencapai hasrat sifar bersih dan pertumbuhan ekonomi mapan daripada tenaga diperbaharui itu.”

Projek bernilai lebih A$30 bilion itu termasuk pembinaan ladang solar besar di Wilayah Utara Australia, bateri terbesar di dunia dan kira-kira 4,200 sistem kabel voltan tinggi bawah laut dari Darwin ke Singapura. – AFP