Indonesia mahu perkukuh kerjasama dengan Afrika

JAKARTA, 14 OGOS – Indonesia akan menganjurkan Dialog Infrastruktur Indonesia-Afrika (IAID) yang akan berlangsung dari 20 hingga 21 Ogos ini di Pusat Konvensyen Nusa Dua Bali, Nusa Dua, Bali.

Seramai 700 perwakilan dari Indonesia dan negara-negara Afrika dijangka menyertai acara dua hari itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan di portal IAID.

Dialog itu akan mengetengahkan perkembangan kerjasama dan perjanjian perniagaan yang ditandatangani di Forum Indonesia-Afrika (IAF) pada April 2018 dan menandatangani perjanjian perniagaan dalam kerjasama infrastruktur dan industri strategik lain antara Indonesia dan Afrika.

Menurut kenyataan itu, dialog tersebut bertujuan untuk memulakan lebih banyak lagi dialog pada masa depan dan pada masa yang sama meningkatkan kerjasama dalam sektor berkaitan.

Sepanjang dua hari acara tersebut, perbincangan panel akan diadakan menampilkan penggubal dasar utama dari Indonesia, Afrika dan antarabangsa serta ahli-ahli perniagaan yang membincangkan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur.

IAID berfungsi sebagai platform bagi komuniti perniagaan, pegawai kerajaan dan lain-lain pihak berkepentingan dari Indonesia dan Afrika untuk bertukar-tukar idea, meneroka kemungkinan jalinan kerjasama dan meneruskan keterlibatan dalam sektor infrastruktur dan sektor berkaitan.

Pada April 2018, kerajaan Indonesia menganjurkan IAF pertama di Bali dan forum itu menghasilkan perjanjian perniagaan berjumlah lebih daripada AS$1 bilion.

Eksport utama Indonesia ke benua berkenaan ialah minyak sawit, pakaian, makanan diproses dan minuman. – Bernama