Indonesia, Malaysia bincang ekonomi bersama

LABUAN, 17 NOV – Indonesia telah mengenal pasti pelbagai bidang ekonomi dan pelaburan di Labuan untuk kedua-dua pihak bekerjasama susulan rancangan negara itu memindahkan ibu negaranya, Jakarta ke Kalimantan Timur.

Susulan lawatan dua hari Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia bagi memperkukuh kerjasama baharu dalam pertahanan, konsul ekonominya Rima Diah Pramudyawati hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli untuk bertukar-tukar pandangan bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan pelaburan antara Indonesia dan Labuan.

Kedua-dua pihak berikrar meningkatkan hubungan dua hala selain meningkatkan kerjasama bagi mengatasi pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim dan meningkatkan kesalinghubungan untuk melicinkan hubungan ekonomi pada masa akan datang. – Bernama