JAKARTA, 18 MAC – Indonesia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mesir bagi menubuhkan suruhanjaya bersama membabitkan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan.
Pertukaran amalan baik dalam industri vaksin adalah penting kerana kedua-dua negara merupakan penerima teknologi vaksin mRNA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.
“Selari dengan keutamaan Indonesia selaku Presiden G20, kami bersetuju menjalin kerjasama demi mengukuhkan kesihatan global,” katanya selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Mesir Sameh Hassan Shoukry, pada Jumaat.
Menteri perdagangan kedua-dua negara akan menandatangani MoU mengenai penubuhan jawatankuasa perdagangan bersama bagi mempercepatkan perjanjian dagangan, kata Retno. – Bernama