Indonesia mulakan ujian vaksin China terhadap penduduknya

JAKARTA, 11 OGOS – Indonesia hari ini memulakan percubaan vaksin COVID-19 buatan China ke atas rakyatnya dengan kira-kira 1,600 sukarelawan mengambil bahagian dalam penyelidikan selama enam bulan itu.

Vaksin dihasilkan oleh Sinovac Biotech, antara beberapa syarikat dunia yang memasuki ujian klinikal Tahap Tiga atau ujian berskala besar terhadap manusia iaitu langkah terakhir sebelum mendapat persetujuan penggunaannya.

Rawatan yang dikenali sebagai CoronaVac itu sudah diuji pada kira-kira 9,000 pekerja kesihatan di Brazil, iaitu negara paling teruk dilanda wabak COVID-19 selepas Amerika Syarikat (AS). Hari ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkunjung ke sebuah kilang di Bandung, iaitu farmasi milik negara, Bio Farma, di mana pengeluaran vaksin itu akan dimulakan.

“Sekali lagi saya menegaskan bahawa ancaman COVID-19 tidak akan berakhir sehingga semua orang diberikan vaksin,” katanya.

Indonesia dengan jumlah penduduk keempat tertinggi di dunia, meng-hadapi kesukaran membendung wabak yang kian meningkat dengan lebih dari 127,000 kes positif termasuk lebih 5,700 kematian. Bagaimanapun, skala sebenar krisis kesihatan awam itu dipercayai jauh lebih besar, memandangkan kadar ujian saringan di negara itu masih rendah.

Gabenor Jawa Barat iaitu wilayah paling padat penduduknya di Indonesia, adalah antara 1,620 sukarelawan turut serta dalam ujian klinikal yang dijangka selesai pada Februari depan.

Sekiranya vaksin itu terbukti selamat dan berkesan, Indonesia merancang untuk menghasilkan hingga 250 juta dos untuk keperluan kepulauan yang mempunyai hampir 270 juta penduduk itu. – AFP

Gambar dari udara menunjukkan penggali kubur mengebumikan mayat mangsa COVID-19 di tanah perkuburan Pondok Ranggoon di Jakarta. Negara dengan hampir 270 juta penduduk itu adalah antara yang terjejas teruk akibat virus dan kini memulakan ujian vaksin dari China ke atas rakyatnya. – AFP