Indonesia mungkin kenakan semula sekatan

JAKARTA, 11 JUN – Indonesia akan mengenakan semula langkah-langkah pencegahan yang ketat atau sekatan pergerakan jika terdapat laporan peningkatan kes baharu COVID-19, kata Presiden Joko Widodo kelmarin, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Semasa melawat Pejabat Pasukan Petugas Kebangsaan COVID-19 di Jakarta, Widodo mahu ketua daerah melaksanakan fasa kebiasaan baharu ke dalam rutin harian masyarakat.

Tambah beliau selalunya ada risiko kawasan penularan virus baharu atau peningkatan jangkitan andai kebiasaan baharu tidak diterapkan di peringkat awal.

Indonesia kelmarin melaporkan 1,241 kes baharu COVID-19, jumlah tertinggi dalam tempoh sehari.

Indonesia setakat ini mencatatkan lebih dari 34,000 kes COVID-19 dan 1,959 kematian. Tetapi dengan salah satu kadar pengujian terendah di dunia, jumlah jangkitan sebenar di negara ini dipercayai jauh lebih tinggi.

Seorang wanita menggunakan penutup muka bagi mengekang penularan virus semasa menikmati minumannya di sebuah restoran di luar Jakarta. – AP
Seorang pekerja ketika memeriksa suhu badan pelanggan sebelum membenarkan mereka memasuki kedai di salah sebuah kompleks membeli-belah di Jakarta. – AFP

Menurut statistik kerajaan setakat 2 Jun, seramai 3.05 juta orang di Indonesia kehilangan pekerjaan akibat wabak COVID-19.

Minggu lalu, ibu kota Jakarta membuka semula masjid untuk kali pertama selepas tiga bulan ditutup, tatkala kerajaan negara itu akan mengumumkan pembukaan pejabat, pusat membeli-belah dan tempat-tempat pelancongan secara berperingkat.

Begitu juga di beberapa wilayah lainnya di negara itu, negara yang memiliki penduduk hampir 270 juta orang itu akan membuka semula sekatan dengan mengenakan beberapa norma baharu dalam usaha untuk terus mengimbangi ekonominya.

“Peningkatan jangkitan baharu adalah hasil pengesan kontak yang agresif,” kata jurucakap pasukan petugas Achmad Yurianto kepada wartawan.

“Ini membuktikan bahawa (pengesanan kontak) menunjukkan lebih banyak kes yang disahkan,” tambahnya. – Bernama/AFP