Indonesia pantau penularan selepas cuti Aidilfitri

JAKARTA, 13 MEI – Indonesia sedang memantau peningkatan kes COVID selepas cuti Hari Raya Aidilfitri yang menyebabkan penularan besar-besaran.

Semasa cuti tersebut, penduduk yang tinggal di bandar-bandar pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya bersama keluarga.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata, “Dalam tempoh 20 hingga 25 hari akan datang kami akan memantau sekiranya masih terdapat peningkatan.”

Kerajaan Indonesia memantau kemungkinan munculnya sub varian baharu iaitu Omicron BA.4 dan BA.5 yang telah dikesan di Afrika Selatan.

Ketua pasukan petugas COVID Persekutuan Perubatan Indonesia, Zubairi Djoerban menganggarkan bahawa mengikut trend peningkatan semasa, peningkatan dalam kes baharu tidak akan berlaku secara mendadak.

Berdasarkan pengalaman musim cuti terdahulu, Djoerban berkata, pemantauan kes mesti dijalankan sehingga tiga bulan bagi memastikan penularan benar-benar reda.

Pihak kerajaan juga sedang menilai perkembangan penularan di lapan wilayah, termasuk Jawa Tengah, Jawa Barat, Jawa Timur, Jakarta, Yogyakarta, Lampung, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Wilayah-wilayah berkenaan berkemungkinan mencatatkan penurunan kes, kecuali di Jakarta dan Sumatera Barat. – Xinhua

Gambar bertarikh 7 Mei yang menunjukkan orang ramai bersesak di Stesen Kereta Api Pasar Senan di Jakarta untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.- Xinhua