Indonesia penjara, denda penjual daging anjing

YOGYAKARTA, 21 OKT – Sebuah mahkamah di Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang penjual daging anjing dalam satu kejayaan penting dipuji oleh aktivis hak asasi haiwan yang berkempen keras mengharamkan ‘amalan’ kejam itu.

Sebuah mahkamah berhampiran ibu kota budaya Yogyakarta, Indonesia pada Isnin lalu menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda 150 juta rupiah (AS$10,000) ke atas suspek.

Lelaki itu, 48, didakwa di bawah undang-undang kekejaman haiwan kerana mengangkut sejumlah 78 ekor anjing yang disumbat ke dalam guni di belakang kenderaan pikapnya.

Polis pada Mei memintas kenderaan itu, kemudian menemui 10 ekor anjing mati akibat tiada makanan dan air, manakala enam ekor mati beberapa hari kemudiannya, menurut pegawai mahkamah.

“Ini merupakan hukuman kali pertama bagi kes seumpamanya,” Edy Sameaputty, jurucakap bagi mahkamah daerah Kulon Progo memberitahu AFP hari ini.

Haiwan itu dibawa dalam perjalanan menuju ke bandar Solo di pulau Jawa ketika dipintasi dan dijangka dijual dagingnya. – AFP

Para hakim semasa menjatuhkan hukuman dan denda ke atas penjual daging anjing di mahkamah Kulon Progo, Yogyakarta, 21 Oktober. –AFP