Indonesia penjara pemusnah kitab

MEDAN, INDONESIA, 5 OGOS – Seorang warga Indonesia telah dipenjara kerana memusnahkan kitab Al-Quran dalam kes luar biasa bagi seorang Islam disabit bersalah menghina agama di negara yang majoritinya Muslim.

Mahkamah daerah di bandar Medan Sumatera menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas Doni Irawan Malay, 44, kelmarin, kurang daripada empat tahun yang diminta oleh pendakwa.

“Defendan didapati bersalah menghina Islam,” kata hakim Tengku Oyong ketika dia menjatuhkan hukuman.

Doni menjadi tajuk berita tahun ini apabila dia keluar dari sebuah masjid di Medan bersama Al-Quran disimpan di dalam seluarnya.

Dia kemudian mengoyakkan kitab itu dan membuangnya ke dalam tong sampah sebelum dia ditangkap oleh sekumpulan orang yang berang dengan kelakuannya. – AFP