Indonesia perhebat saringan COVID-19 di Jawa Timur

JAKARTA, 28 MEI – Indonesia akan memperhebat ujian saringan dan mengesan kes COVID-19 di wilayah Jawa Timur yang menjadi kawasan penularan baharu wabak, lapor agensi berita Xinhua.

Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini berkata keutamaan perlu diberikan kepada wilayah itu berbanding yang lain memandangkan lonjakan kes COVID-19 yang dicatatkan di wilayah berkenaan kebelakangan ini.

Beliau menekankan mengenai pentingnya saringan berskala besar dan pengesanan terhadap mereka di bawah pemantauan dan pengawasan.

Selain menerapkan prosedur pengasingan yang ketat, pelaksanaan protokol kesihatan juga harus dilakukan, kata presiden.

Katanya, untuk menguatkuasakan peraturan penjarakan sosial berskala besar, tentera dan polis akan dikerahkan ke wilayah itu. – Bernama

Seorang wanita berjalan melepas mural memberi penghormatan kepada petugas kesihatan semasa wabak koronavirus di Jakarta, Indonesia, 28 Mei. – AP