Indonesia rai merdeka dengan SOP kesihatan ketat

JAKARTA, 17 OGOS – Indonesia meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-75 hari ini bertemakan ‘Indonesia Maju’ yang diadakan secara ringkas ketika republik itu masih merekodkan peningkatan berterusan kes pandemik COVID-19.

Upacara sambutan di Istana Merdeka, Jakarta berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, yang diadakan dengan protokol kesihatan yang ketat, manakala ‘kehadiran’ tokoh-tokoh pemimpin politik, menteri-menteri Kabinet Indonesia dan tetamu kehormat negara, diadakan secara maya.

Menurut Kementerian Sekretariat Negara, hanya 67 individu termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo yang menyertai sambutan di Istana Merdeka berkenaan.

Turut hadir ialah Naib Presiden Indonesia Ma’ruf Amin; Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Bambang Soesatyo yang membacakan proklamasi kemerdekaan 17 Ogos 1945; Menteri Agama, Fachrul Razi yang membacakan doa pada upacara itu. Hadir sama, Panglima Tentera Indonesia Hadi Tjahjanto dan Ketua Polis Indonesia Idham Azis.

Upacara sambutan bermula 10 pagi menerusi bacaan proklamasi kemerdekaan, menaikkan bendera Indonesia dan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya dan acara tamat sepenuhnya pada 10:30 pagi waktu Indonesia Barat. – Bernama

Penyelam mengibarkan bendera pada acara dalam air di taman permainan Seaworld Ancol. Sambutan kemerdekaan ke-75 Indonesia diraikan dalam SOP yang ketat di seluruh Jakarta, Indonesia bagi menghindari penularan COVID-19. – AFP