Monday, December 30, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia rampas ratusan tenggiling bernilai AS$190,000

    MEDAN, Indonesia, 14 Jun – Pihak berkuasa Indonesia telah merampas beratus tenggiling dan sisik dalam satu rampasan bernilai AS$190,000 setelah membongkar satu operasi penyeludupan besar, kata pegawai hari ini.

    Dua lelaki juga ditahan selepas pegawai tentera laut menggeledah sebuah gudang berhampiran sebuah pelabuhan di pulau Sumatera lewat semalam, bertindak berdasarkan maklumat bahawa ia sedang digunakan untuk menyimpan haiwan berkenaan.

    Mereka menemui 223 tenggiling hidup, 24 di antara mereka telah pun mati dan dibekukan serta sembilan beg sisik tenggiling, beritahu jurucakap tentera laut tempatan Sahala Sinaga kepada AFP.

    Beliau berkata jumlah rampasan yang dirampas berhampiran bandar Medan, yang dijangka dihantar ke negara jiran Malaysia, adalah bernilai 2.5 bilion rupiah.

    Terdapat bukti yang menunjukkan perniagaan dalam haiwan yang paling banyak diseludup di dunia itu masih menimbulkan masalah besar meskipun usaha bersepadu untuk mengurangkannya.

    Tenggiling-tenggiling yang telah dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia. - AFP
    Tenggiling-tenggiling yang telah dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia. – AFP

    Pada tahun lalu, haiwan mamalia itu menerima perlindungan tertinggi terhadap perniagaan haram pada satu persidangan global di Afrika Selatan

    Sinaga berkata lelaki yang ditahan itu, kedua-duanya berusia 43 tahun, disyaki menjadi orang yang memain peranan kecil dalam sindiket yang lebih besar. Mereka mungkin menghadapi hukuman penjara lima tahun dan denda sebanyak 100 juta rupiah jika didapati bersalah melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar.

    “Mereka mendakwa tenggiling akan dihantar ke Malaysia,” kata Sinaga, menambah sisik mungkin digunakan dalam pengeluaran methamphetamine.

    Sisik tenggiling ada kalanya digunakan dalam penghasilan dadah. Daging haiwan itu juga dihargai sebagai makanan istimewa dan bahagian badannya sebagai ramuan dalam ubat tradisional di kawasan Asia terutamanya China dan Afrika.

    Ia adalah kes terbaru tenggiling yang dirampas daripada penyeludup di Indonesia – pada Ogos tahun lalu pihak berkuasa menemui lebih daripada 650 tenggiling disembunyikan dalam pembeku di pulau utama Jawa dan menahan seorang tersangka.

    Kumpulan perlindungan Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa mengelaskan tenggiling yang ditemui di Indonesia sebagai amat terancam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda