Indonesia rampas setengah juta topeng virus

JAKARTA, 4 MAC – Polis Indonesia merampas lebih setengah juta topeng muka dari gudang kawasan Jakarta selepas kes koronavirus pertama disahkan di negara itu mencetuskan kepanikan pembelian dan harga produk pencegahan melambung tinggi.

Pihak berkuasa menyoal siasat dua orang selepas serbuan malam kelmarin di sebuah gudang di bandar satelit Tangerang, di mana hampir 600,000 topeng muka pembedahan ditemui.

Pemiliknya tidak mempunyai kebenaran untuk mengedarkan topeng tersebut, kata polis.

“Harga topeng menjadi mahal di mana-mana sehingga berlakunya kekurangan, kebanyakannya pengumpul cuba untuk mengambil kesempatan atas perkara tersebut,” kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus kepada AFP hari ini.

Mereka yang disabit mengumpul topeng itu boleh dikenakan hukuman lima tahun penjara dan denda, kata polis.

Para pegawai Indonesia berdiri tidak jauh dari kotak-kotak berisi topeng muka yang dirampas dalam serbuan di Tangerang pada 4 Mac. – AFP

Serbuan gudang muncul selepas ratusan kotak topeng muka pembedahan juga dirampas kelmarin di sebuah apartmen di Jakarta.

Dan polis berkata mereka menyerbu sebuah kilang pada hujung minggu kerana dipercayai membuat dan mengagihkan topeng palsu yang tidak memenuhi standard kesihatan.

“Topeng tersebut tidak berguna. Ia tidak akan melindungi penggunanya,” kata Yunus.

Tindakan itu telah diarahkan oleh presiden Indonesia, Joko Widodo yang telah menggesa rakyatnya untuk mengelak pembelian panik – sungguhpun rak-rak telah kosong dan harga topeng dan sanitasi tangan naik.

Bandar-bandar besar termasuk Tokyo, Hong Kong, Sydney juga menyaksikan pembelian panik angkara virus terbabit. – AFP