Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia sasar jadi hab pengeluaran halal

    SHANGHAI, 19 SEPT – Indonesia bukan sahaja mahu menjadi negara yang menetapkan piawaian pensijilan halal, bahkan menjadi hab pengeluaran halal global, kata Naib Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin.

    “Indonesia bukan sahaja mahu menyediakan piawaian pensijilan halal di dunia, malah mahu menjadi negara terbesar dunia dalam menghasilkan produk halal,” katanya pada kelmarin, lapor agensi berita ANTARA.

    Ma’aruf Amin membuat kenyataan itu semasa pertemuannya dengan Institut Penilaian Makanan, Ubat-ubatan dan Kosmetik Majelis Ulama Indonesia (LPPOM MUI), Shanghai dan pengusaha sektor halal China.

    Pertemuan itu berlangsung di Pejabat LPPOM MUI di Shanghai, yang juga berfungsi sebagai pejabat Shanghai Al-Amin Consultant, sebuah daripada anak syarikat Shanghai Al-Amin Biotech Co. Ltd.

    “Kami menyediakan standard halal yang menjadi sistem standard halal di dunia dan diiktiraf oleh 50 badan pensijilan halal,” kata Naib Presiden itu.

    Untuk membangunkan dan mempromosi penyeragaman produk halal Indonesia, LPPOM MUI telah menubuhkan pejabat perwakilan di beberapa bandar global, termasuk Shanghai.

    Amin mengajak usahawan dari beberapa negara khususnya China untuk melabur dalam produk halal di Indonesia.

    “Di Fuzhou baru-baru ini, kami bertemu 10 usahawan, termasuk yang pernah dan akan melabur di Indonesia memandangkan gaya hidup halal sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Islam global,” katanya.

    Menurutnya, nilai penggunaan makanan halal dunia pada 2021 mencecah AS$1.27 trilion dan diunjur mencecah AS$1.6 trilion menjelang 2025, manakala pelaburan dalam sektor makanan halal mencecah hampir AS$4 bilion dalam tempoh 2020–2021.

    “Halal sudah menjadi gaya hidup sebahagian penduduk dunia tanpa mengira agama atau kepercayaan, kerana kebersihan, keselamatan dan kesihatan produk halal terjamin yang pastinya akan merangsang permintaan dunia terhadap produk halal pada masa hadapan,” katanya. – Bernama

    Menurut Naib Presiden Indonesia, Indonesia bukan sahaja mahu menyediakan piawaian pensijilan halal di dunia, tetapi juga mahu menjadi negara terbesar dunia dalam menghasilkan produk halal. – KOMPAS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda