JAKARTA, 2 NOV – Kerajaan Indonesia serta beberapa agensi kemanusiaan, sedia menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Semenanjung Gaza yang terjejas akibat konflik terbaharu antara Israel dan Hamas.
“Ia selari dengan arahan Presiden Joko Widodo kepada Menteri Luar, Retno Marsudi supaya menyalaras penghantaran bantuan kerajaan dan masyarakat ke Gaza,” kata jurucakap Kementerian Luar, Lalu Muhamad Iqbal pada sidang media kelmarin.
Menurut Iqbal, bantuan kemanusiaan itu yang mengandungi barangan keperluan untuk penduduk Palestin, akan dihantar pada akhir minggu ini. Butiran lanjut mengenai penghantaran masih dibincangkan antara kerajaan dan beberapa organisasi terlibat.
“Bantuan ini akan dihantar kepada Bulan Sabit Merah Mesir yang akan mengedarkannya ke Gaza oleh UNRWA. Bulan Sabit Merah Mesir merupakan organisasi tunggal yang dibenarkan untuk mengedar bantuan ke Gaza,” katanya.
Bulan Sabit Merah Indonesia (PMI) juga akan menyumbang bantuan kemanusiaan mengandungi kit kesihatan, genarator serta tabung oksigen yang kesemuanya bernilai Rp2.9 bilion ke Gaza.
“Sehingga kini kami masih menunggu kelulusan daripada agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang boleh mengesahkan jenis bantuan yang boleh memasuki Gaza,” menurut pegawai PMI, Niniek Kun Naryatie.
Sementara itu, Indonesia Humanitarian Alliance (IHA) berjaya mengumpul Rp5 bilion daripada orang ramai untuk disalurkan kepada penduduk Gaza. – Bernama