KARANGASEM, Indonesia, 27 Sept – Pihak berkuasa Indonesia bersedia untuk mengubah haluan penerbangan ke pulau percutian Bali apabila gegaran yang semakin kerap di gunung berapi menimbulkan kebimbangan satu letusan akan berlaku tidak lama lagi.
Gunung Agung, 75 kilometer dari pusat pelancong Kuta, telah bergegar sejak Ogos, mengancam akan meletus untuk kali pertama dalam lebih 50 tahun dan memaksa lebih daripada 80,000 orang melarikan diri dari rumah mereka.
Bali menarik berjuta-juta pelawat asing setiap tahun ke pantainya dan satu letusan akan memberi tamparan kepada ekonominya yang bergantung pada pelancongan.
Lapangan terbang di ibu negeri Bali Denpasar masih belum terjejas, namun beberapa negara termasuk Australia dan Singapura telah mengeluarkan amaran kepada pengunjung supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Sekiranya berlaku letusan, Indonesia merancang mengubah haluan penerbangannya yang menuju ke Bali ke 10 lapangan terbang lain, termasuk Lombok dan ibu negara Jakarta.

“Kapal terbang akan diubah haluan ke lokasi terdekat mereka atau di mana ia berlepas pada asalnya,” kata menteri pengangkutan Budi Karya Sumadi.
Syarikat penerbangan sedang memantau keadaan tersebut dan 100 buah bas telahpun disediakan untuk memindah pelancong.
Virgin Australia berkata ia akan mengadakan persinggahan tambahan untuk mengisi minyak di Darwin untuk beberapa penerbangannya di antara Australia dan Bali sekiranya ia dipaksa berpatah balik.
Singapore Airlines berkata pelanggan yang berkunjung di antara 23 September dan 2 Oktober boleh menempah semula penerbangan atau meminta bayaran balik.
Pegawai mengumumkan tahap amaran tertinggi pada Jumaat disebabkan aktiviti gunung berapi yang meningkat, dan memberitahu orang supaya tinggal sekurang-kurangnya sembilan kilometer dari kawah.
Mereka masih menekankan pulau tersebut selamat pada umumnya, tetapi terdapatnya tanda-tanda gunung berapi mula memberikan kebimbangan kepada pelancong.
I Komang Nik Suantara, pemilik Amed Beach Resort di pantai timur Bali, berkata perniagaan telah merosot sejak tahap amaran dinaikkan.
“Amed selamat daripada lahar tetapi ekonomi amat meleset, tidak ada pelanggan, semua orang membatalkan percutian mereka,” kata beliau. – AFP