Indonesia, Singapura terus catat kes baharu COVID-19

INDONESIA/SINGAPURA, 30 JULAI – Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat dengan 1,904 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kini 106,336 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 53,723 pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 83 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di republik itu kini meningkat kepada 5,058 orang.

Sementara itu, Singapura mengesahkan 278 kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 51,809 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam data ringkas yang dikeluarkan setakat tengah hari, sebahagian besar kes berkenaan adalah pekerja asing yang tinggal di asrama. – Bernama