Indonesia tangguh kerjasama tentera bersama Australia

JAKARTA, 4 Jan – Indonesia hari ini berkata ia menggantung kerjasama ketenteraan bersama Australia, dilaporkan akibat bahan-bahan latihan yang dianggap menghina, dalam satu lagi keadaan yang meningkatkan ketegangan di antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

Kerjasama termasuk latihan ketenteraan dan pendidikan dan program pertukaran telah dihentikan pada bulan lalu, kata jurucakap tentera Indonesia, Wuryanto.

Ia tidak jelas apa sebenarnya material yang menyebabkan kesalahan itu.

“Kerjasama tentera bersama pasukan Australia digantung secara sementara kerana perkara teknikal,” kata jurucakap tentera Indonesia, Wuryanto kepada AFP, namun menambah bahawa dia berharap masalah itu akan dapat ‘diselesaikan segera’.

Ia adalah pertikaian terbaru antara sekutu penting itu, yang hubungannya menjadi bermasalah beberapa tahun kebelakangan oleh pertikaian berhubung pelaksanaan hukuman mati Jakarta ke atas penyeludup dadah warga Australia dan dasar tidak tolak ansur Canberra menghalau bot penghijrah balik ke Indonesia.

Menteri Pertahanan Australia, Marise Payne mengesahkan penangguhan itu, berkata dalam kenyataan: “Beberapa interaksi antara kedua-dua organisasi pertahanan telah ditangguhkan sehingga perkara tersebut diselesaikan.”

Beliau berkata ia berkaitan dengan ‘beberapa material pengajaran dan ucapan’ di pusat latihan bahasa, tanpa memberi butiran selanjutnya. – AFP