JAKARTA, 24 OKT – Menteri Luar Indonesia, Sugiono, menegaskan komitmen kukuh negara itu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan semasa mesyuarat dua hala dengan pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Kazan, Rusia.
“Saya akan memastikan isu Palestin kekal di barisan hadapan diplomasi Indonesia, dan kami akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin,” katanya di luar sidang kemuncak BRICS Plus 2024.
Menteri yang baharu dilantik itu membuat kenyataan semasa pertemuan dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif PLO, Hussein Al Sheikh, dengan mencadangkan agar sidang kemuncak BRICS dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama sebagai kuasa positif bagi keamanan di Palestin, menurut kenyataan kementerian.
Beliau mengulangi sokongan politik Indonesia terhadap Palestin, termasuk usaha berterusan untuk mempromosikan gencatan senjata kekal dan inisiatif damai lain yang bertujuan mencapai penyelesaian dua negara, sambil menambah komitmen berkenaan turut disuarakan oleh Prabowo Subianto semasa pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober.
Sugiono juga menegaskan komitmen Indonesia terhadap bantuan kemanusiaan untuk Palestin, baik secara dua hala mahupun melalui agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu seperti Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) serta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), di samping menekankan pentingnya usaha kolektif untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.
Sementara itu, dalam mesyuarat dua hala berasingan bersama Menteri Luar India, Dr S. Jaishankar, Sugiono mengalu-alukan keputusan India untuk menarik balik larangan eksport beras putih bukan basmati, yang akan meningkatkan keselamatan makanan.
Kedua-dua menteri membincangkan kerjasama dalam pelbagai sektor seperti pemakanan, perumahan, farmaseutikal, pertahanan, dan pendidikan. – Bernama