Indonesia terima pengunjung antarabangsa dari 19 buah negara

JAKARTA, 14 OKT – Pengunjung antarabangsa dari 19 buah negara dengan kadar positif COVID-19 kurang lima peratus dibenarkan datang ke Indonesia, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan dalam satu pertemuan di Jakarta, kelmarin.

Negara-negara itu adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), New Zealand, Kuwait, Bahrain, Qatar, China, India, Jepun, Korea Selatan, Liechtenstein, Itali, Perancis, Portugal, Sepanyol, Sweden, Poland, Hungary dan Norway, lapor Xinhua.

“Dasar ini hanya khusus untuk penerbangan secara terus ke Bali dan Kepulauan Riau,” tambah Pandjaitan.

Mereka dibenarkan memasuki negara itu jika negatif ujian COVID-19, telah lengkap divaksin dan mempunyai insurans kesihatan serta bukti tempahan penginapan kuarantin lima hari.

Bali merupakan wilayah Indonesia yang paling banyak menerima pengunjung antarabangsa, sementara Kepulauan Riau, di sebelah barat negara yang bersempadan dengan Singapura, menduduki tempat kedua bagi kedatangan pelancong asing.

Indonesia membuka semula penerbangan untuk pengunjung antarabangsa di dua wilayah itu mulai 14 Oktober kerana pandemik kini terkawal. Namun menurut pihak berkuasa di Bali, tidak ada penerbangan antarabangsa dijangka diterima hari ini.

“Kami sudah sedia dan menunggu penerbangan antarabangsa. Tetapi, belum ada jadual penerbangan hari ini,” kata jurucakap lapangan terbang, Taufan Yudhistira. – Bernama/AFP

Pulau Bali yang lenggang pada 14 Oktober. – AFP