JAKARTA, 21 Mac – Indonesia dilaporkan akan terus menghantar rakyatnya berkhidmat sebagai pembantu rumah ke luar negara, menurut agensi berita Vietnam (VNA).
Pengarah perlindungan dan penempatan pekerja migran Indonesia ke luar negara Soes Hindharno berkata pada Isnin, negara itu tidak akan menghalang rakyatnya ke luar negara untuk bekerja sebagai pembantu rumah tetapi akan melindungi mereka dengan lebih baik menerusi rundingan dengan negara penerima.
Sebelum ini, Indonesia dilaporkan akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke luar negara bermula 2017.
Indonesia juga melarang wanita rakyatnya bekerja di 21 buah negara di Timur tengah susulan kes penderaan sejak 2015.
Bagaimanapun permintaan tinggi menyebabkan sindiket penyeludupan manusia mencari jalan untuk memenuhi permintaan itu.
Di sebalik peningkatan kes penderaan dan layanan yang tidak memuaskan, setiap tahun ribuan wanita Indonesia masih pergi ke Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana tertarik dengan tawaran gaji lumayan.
Setakat ini, lebih dua juta wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di luar negara. – Bernama