Indonesia teruskan operasi cari nelayan hilang

JAKARTA, 21 JUN – Indonesia memperluaskan pencarian tujuh nelayan yang masih hilang selepas pasukan penyelamat menemui tiga mangsa yang selamat daripada kejadian bot karam di perairan dekat gunung berapi Anak Krakatau, kata para pegawai hari ini.

Sebuah motobot membawa 16 orang karam pada Khamis akibat ombak kuat di Semenanjung Sunda antara pulau Jawa dan Sumatera.

Enam mangsa ditemui selepas kemalangan itu dan hari ini, agensi penyelamat Indonesia berkata tiga lagi telah diselamatkan dari bot nelayan, yang menemui mereka terapung.

Usaha untuk mencari mereka dilanjutkan ke ‘radius 20-25 kilometer untuk mencari tujuh lagi yang masih hilang,” kata Heru Amir, pegawai pencari dan penyelamat di wilayah Banten.

Tiga mangsa terselamat memberitahu pasukan penyelamat yang tujuh nelayan cuba untuk berenang ke pulau berhampiran menggunakan objek-objek yang mereka capai daripada bot karam termasuk tong minyak, menurut Amir.

“Jarak dari tempat tiga mangsa ditemui dengan pulau berhampiran adalah 10 batu nautika,” kata Amir. – AFP