Indonesia, Thailand buka semula masjid

JAKARTA/BANGKOK, 5 JUN – Ibu negara Indonesia hari ini membuka semula masjid-masjid buat kali pertama dalam masa tiga bulan, ketika bandar mega itu mengendurkan perintah berkurung separa meskipun peningkatan dalam kes koronavirus di negara majoriti umat Islam terbesar dunia itu.

Gereja-gereja dan rumah ibadat lain juga dibuka selepas gabenor Jakarta kelmarin mengumumkan pelonggaran sekatan, dengan pejabat-pejabat, restoran, kompleks membeli-belah dan kawasan tarikan pelancong dijangka mula beroperasi dalam minggu-minggu akan datang.

Masjid-masjid masih dibuka di sebahagian kawasan gugusan kepulauan Asia Tenggara itu, negara paling padat penduduk ke-4 dunia.

Namun bagi ramai penduduk Jakarta—kediaman bagi sekitar 30 juta orang—ia merupakan kali pertama dalam masa beberapa bulan Muslim dapat menunaikan sembahyang Jumaat, hari suci dalam Islam.

Khutbah bagaimanapun dipendekkan berbanding biasa dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 manakala jemaah diarahkan membawa sejadah mereka sendiri serta mematuhi jarakan sosial dengan pemeriksaan suhu badan dilaksanakan di pintu masuk masjid.

Jemaah bersembahyang dengan amalan jarak fizikal sebagai langkah berwaspada terhadap koronavirus dalam sembahyang fardu Jumaat di Masjid At-Tin di Jakarta, Indonesia. Muslim di ibu negara Indonesia dan di Thailand dibenarkan sembahyang fardu Jumaat berjemaah selepas langkah-langkah pelonggaran sekatan dilaksanakan. – AP

Dalam pada itu, Thailand turut sama membenarkan umat Islam menunaikan sembahyang fardu Jumaat berjemaah mulai hari ini, dengan syarat langkah pencegahan membendung wabak COVID-19 perlu dilaksanakan.

Dalam satu kenyataan, Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon, berkata memandangkan keadaan bertambah baik dan semakin banyak larangan dilonggarkan, Pejabat Sheikhul Islam bersetuju membenarkan solat berjemaah dilakukan di masjid seluruh negara.

“Sebelum memasuki masjid, jemaah mesti memakai penutup mulut dan hidung, memeriksa suhu badan dan menggunakan pensanitasi tangan.

“Selain itu, jemaah perlu mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri dan menjaga jarak sosial satu hingga dua meter.

Aziz berkata pegawai masjid mesti menyediakan borang bagi individu mendaftarkan nama dan nombor telefon.

“Masjid perlu dibuka 15 minit sebelum dan ditutup 15 minit selepas solat,” katanya.

Beliau menambah ahli jawatankuasa masjid mesti memastikan semua langkah pencegahan dipatuhi sepenuhnya. – AFP/Bernama