Thursday, September 19, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia utamakan keselamatan dalam sektor pelancongan

    BATAM, 5 OGOS – Indonesia sentiasa memberi perhatian khusus terhadap keselamatan pelancongan bagi pelancong domestik dan asing, kata Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno.

    Uno membuat kenyataan itu kelmarin sebagai respons terhadap kematian seorang pelancong wanita dari China, Qin Fangting di sebuah hotel tempatan pada Sabtu. Polis tempatan memaklumkan bahawa mangsa terjatuh dari tingkat enam.

    “Kami kesal dengan kejadian melibatkan warga China itu. Ini adalah perkara yang sangat serius. Kerajaan segera menghantar pasukan untuk menyelidik aspek keselamatan. Kami mengutamakan aspek ini bukan sahaja di Batam tetapi juga di seluruh wilayah Indonesia,” katanya.

    Menteri itu menegaskan semua pihak berkepentingan perlu mengambil langkah-langkah yang wajar bagi mencegah kejadian serupa berulang.

    Uno juga menekankan bahawa langkah-langkah antisipasi adalah penting bagi menjadikan Indonesia sebuah destinasi pelancongan yang selamat, selesa dan menyeronokkan untuk pelancong antarabangsa, termasuk dari China, lapor ANTARA.

    Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk meningkatkan bilangan pelancong domestik dan asing yang melawat destinasi pelancongan Indonesia.

    Dalam tempoh enam bulan pertama 2024, jumlah pelancong asing melebihi enam juta, meningkat 21 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

    Selepas pandemik COVID-19, Uno memaklumkan nilai sektor ekonomi kreatif Indonesia terus berkembang, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara mencapai lapan peratus. Menteri itu berkata trend positif dalam sektor ekonomi kreatif juga dicirikan oleh potensinya untuk mewujudkan sekitar 25 juta peluang pekerjaan baharu.

    “Ekonomi kreatif adalah sektor yang paling pesat berkembang selepas COVID-19,” katanya.

    Uno menekankan bahawa Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif mengambil pelbagai langkah strategik bagi memastikan kemampanan pertumbuhan, termasuk menyediakan kursus latihan kepada usahawan selain peluang untuk mempamerkan produk mereka di pameran.

    “Kami juga menawarkan bantuan pemasaran dan modal,” katanya. – Bernama

    Gambar Unsplash

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda