Indonesia yakin M’sia mampu tangani kes culik

TAWAU, 12 Sept – Indonesia hari ini melahirkan keyakinan terhadap kemampuan pasukan keselamatan Malaysia menangani kes penculikan melibatkan dua warga negaranya di Pantai Timur Sabah.

Ketua Perwakilan Indonesia, Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata kerajaan Malaysia diharap dapat menyelesaikan kes penculikan itu yang berlaku di perairan Pulau Gaya, Semporna pada Selasa.

“Pihak kita masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai dalang insiden penculikan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Djati berkata pihaknya telah menemui majikan kepada kedua-dua mangsa culik itu dan meminta supaya kebajikan keluarga mereka diambil perhatian.

“Kedua rakyat Indonesia itu sudah lama bekerja sebagai nelayan di semporna dan majikannya mempercayai mereka sehingga melantik mereka sebagai juragan dan pembantu juragan,” katanya. Beliau juga berkata, Kementerian Luar Indonesia sedang mengesan keluarga kedua-dua mangsa yang menetap di Sulawesi.

Kedua-dua mangsa culik rakyat Indonesia iaitu dikenali sebagai juragan kapal Samsul Saguni, 40, dan pembantunya Usman Yusuf, 35 tahun.

Ini merupakan kes penculikan pertama yang berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) selepas hampir dua tahun pantai timur Sabah bebas daripada insiden penculikan. Kali terakhir insiden itu berlaku di kawasan tersebut ialah pada 8 Dis, 2016. – Bernama