Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Industri bunga Ecuador bergelut untuk bangkit

    CAYAMBE, ECUADOR – Kesan pandemik, perang di Ukraine, dan bantahan selama lebih daripada dua minggu berikutan kos sara hidup yang melambung tinggi, industri bunga Ecuador baru-baru ini terpaksa mengatasi satu demi satu halangan.

    Penjana pendapatan keempat terbesar di negara itu dari segi jualan, penjualan bunga ros hampir mencecah AS$1 bilion pada 2021 – atau secara tepatnya jumlah rekod mencatatkan sebanyak AS$927 juta.

    Dengan beratus-ratus syarikat menanam 450 variasi bunga ros, Ecuador ialah pengeksport bunga ketiga terbesar di dunia selepas Belanda dan Colombia. Tetapi ramalan tahun ini tidak diketahui selepas bantahan besar-besaran selama 18 hari disebabkan kenaikan harga bahan api sehingga mengakibatkan enam orang terbunuh.

    “Protes itu memberikan kerugian yang lebih besar selepas dua tahun menempuh pandemik,” kata Marcelo Echeverria, wakil komersial Ecuador bagi firma bunga antarabangsa Dummen Orange.

    “Itu telah melambatkan banyak perkara yang dirancang, banyak projek telah disusun untuk separuh kedua tahun ini.”

    Seorang pekerja Dummen Orange melakukan tugasnya di ladang bunga mawar di Hacienda La Serena di Guachala, Ecuador. – AFP
    Kelihatan seorang pekerja melakukan pemeriksaan pada bunga yang hendak dieksport. – AFP

    Pekerja Hoja Verde Flores mengumpulkan mawar sekerap yang digunakan untuk kompos. – AFP
    Pengurus Hoja Verde Flores, Eduardo Letort, menunjukkan kotak berisi bunga mawar untuk dieksport. – AFP

    Bantahan yang diketuai oleh kumpulan Orang Asli yang berkuasa, menyaksikan bunga antara produk eksport yang disasarkan oleh para pembantah.

    “Mereka membakar bunga kami,” kata persatuan pengeluar dan pengeksport Expoflores melalui Twitter ketika tak pengangkutan yang mengandungi produk eksport dibakar pada bulan lalu.

    “Mereka membakar pendapatan kami.”

    Expoflores berkata bunga lain menjadi layu kerana tidak dapat dituai dan dipindahkan untuk dieksport, dan akhirnya terpaksa dibuang.

    Kerajaan menganggarkan kos yang meningkat itu kira-kira AS$1 bilion, kira-kira dua pertiga daripadanya ditanggung oleh sektor swasta, termasuk industri bunga.

    “Terdapat kerugian yang tidak terkira dari segi jumlah bunga yang tidak boleh dieksport dan kerosakan kepada harta persendirian,” kata Socorro Martinez, pemilik Dummen Orange Ecuador.

    “Ia adalah isu yang sangat menyedihkan kerana… ia melebarkan jurang antara beberapa pengeluar dan orang biasa yang merupakan sebahagian daripada komuniti ini, mereka yang kami anggap sangat rapat dengan kami.”

    Keperluan

    Tetapi mereka yang menjadi sebahagian daripadanya berkata industri ini adalah industri yang berdaya tahan, dengan bunga tidak pernah ketinggalan zaman, sama ada untuk acara gembira atau sedih.

    “Kami telah mengalami banyak krisis dari dalam dan luar negara. Kami hidup dalam krisis, tetapi kami tahu bagaimana untuk menguruskannya,” kata Eduardo Letort, pengurus firma Hoja Verde, yang menghasilkan kira-kira 35 juta batang 120 variasi bunga ros setiap tahun.

    “Sudah beberapa tahun kami berdepan tahun yang sukar, tetapi… kami telah berjaya menyesuaikan diri dengan mencari pasaran baharu atau menggunakan lebih baik stok baja yang semakin berkurangan kerana bekalan terhadp semasa wabak dan baru-baru ini dengan perang di Ukraine,” katanya kepada AFP di ladangnya di Cayambe, Andes.

    Pada tahun 2020, industri bunga Ecuador merekodkan jualan sebanyak AS$827 juta, penurunan yang lebih kecil daripada yang dijangkakan semasa pra-pandemik 2019 yang merekodkan sebanyak AS$880 juta.

    “Kami melihat bunga…kini menjadi produk keperluan. Orang ramai mahu menambah warna, memberikan wangian semula lagi di rumah mereka semasa perintah pengawalan pergerakan,” kata Letort. Terdapat juga peningkatan mendadak dalam permintaan bunga untuk kalungan pengebumian mangsa pandemik.

    Lebih rumit

    Antara Januari dan Mei tahun ini, pengeksportan bunga telah menjana pendapatan AS$432 juta, berbanding AS$417 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2021.

    Baki tahun ini “kelihatan sangat baik walaupun Rusia (yang bertindak menceroboh Ukraine) dengan ramalan untuk penurunan diikuti dengan pemulihan menjelang akhir tahun,” kata presiden Expoflores Alejandro Martinez.

    “Tetapi dengan bantahan, keadaan kini kelihatan lebih rumit,” tambahnya.

    Rusia adalah pelanggan negara kedua terbesar Ecuador untuk bunga pada 2021, selepas Amerika Syarikat (AS). Sejak permulaan perang, pasaran saham Rusia jatuh daripada 20 peratus kepada 10 peratus, kata Letort, yang juga presiden Expoflores di Cayambe.

    “Perniagaan bunga sudah rumit, ia tidak memerlukan bantahan penduduk, wabak atau peperangan untuk menjadikannya rumit,” kata Marco Penaherrera, yang menghantar kira-kira 120,000 bunga mawar ke AS setiap minggu.

    “Ia adalah perniagaan yang baik, tetapi ia rumit.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...