Industri China perlahan, pengangguran meningkat

BEIJING, 14 Mac – Keluaran industri China menjadi perlahan ketika dua bulan pertama tahun ini apabila pengangguran meningkat, data rasmi menunjukkan hari ini, sementara beberapa petunjuk menunjukkan satu kemelesetan dalam ekonomi kedua terbesar dunia semakin stabil.

Angka daripada Biro Statistik Nasional keluar tatkala Beijing dan Washington nampaknya hampir-hampir mencapai satu perjanjian untuk menyelesaikan perbalahan perniagaan mereka, dan pemimpin China berkumpul di ibu negara untuk sesi parlimen tahunan.

Pertumbuhan pengeluaran di kilang dan bengkel China untuk dua bulan pertama menjadi perlahan kepada 5.3 peratus daripada 5.7 peratus pada Disember, tahap rendah dan kurang daripada yang diramalkan.

“Kami mesti sedar bahawa timbulnya banyak ketidakpastian dan ketidakstabilan daripada persekitaran luar,” kata jurucakap NBS Mao Shengyong.

“Ekonomi menghadapi tekanan berku-rangan,” beritahunya kepada wartawan.

Kadar pengangguran China meningkat kepada 5.3 peratus pada Februari, daripada 4.9 peratus pada Disember, dengan NBS berkata ia telah menjangka angka yang lebih teruk.

Perdana Menteri China Li Keqiang pada minggu lalu membentangkan matlamat pertumbuhan yang lebih rendah sebanyak 6.0-6.5 peratus pada tahun ini, daripada pertumbuhan sebanyak 6.6 peratus pada 2018, yang telahpun menjadi kadar paling perlahan selama hampir tiga dekad. – AFP