Industri gaharu berpotensi dikembangkan di peringkat hiliran

JELI, 21 JUN – Industri gaharu berpotensi dikembangkan di peringkat hiliran kerana belum ramai usahawan yang terbabit dalam sektor ini terutamanya dalam pembuatan minyak wangi, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata industri tersebut mempunyai potensi yang luas memandangkan ia kurang diceburi di negara ini walaupun Asia Tenggara terkenal dengan penghasilan minyak pati gaharu yang terkenal dalam pembuatan minyak wangi di Timur Tengah.

“Sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat dan individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas (dalam menghasilkan gaharu) berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta.

“Jumlah pengeksport dan pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat dan sebanyak 22 syarikat serta individu adalah pengilang manakala lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia,” kata Mohd Khairuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatan kerja sulungnya ke Kelantan ketika meninjau penghasilan minyak pati gaharu di Syarikat Oud Agarwood Enterprise di Kampung Bukit Tok Ali, Kuala Balah di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Oud Agarwood Mohd Ruslan Osman.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata tahun lepas, jumlah eksport bagi industri berkenaan bernilai RM8.8 juta dan masih sederhana berbanding nilai berbilion ringgit di pasaran global memandangkan ia merupakan antara ramuan popular dalam penghasilan minyak wangi.

Justeru, katanya, beliau akan memohon sejumlah peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi membantu industri gaharu berkembang di peringkat perladangan dan hiliran. – Bernama