PETALING JAYA, 5 OKT – Persidangan Halal Sedunia 2020 yang ke-12 anjuran Halal Development Corporation (HDC) pada 6 Oktober ini bakal membincangkan anjakan industri halal menuju ke Ekonomi Baharu Dunia di dalam situasi normal baharu susulan pandemik dunia.
“Koronavirus telah mengubah landskap ekonomi di mana para pengguna terpaksa menyesuaikan diri kepada amalan-amalan baharu semasa sekatan pergerakan dan kuarantin.
Ini akan berterusan, ianya telah mengubah gaya hidup dan kelakuan pengguna, dan penduduk di serata dunia kini berusaha untuk menyesuaikan diri dengan amalan normal baharu,” kata Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif HDC.
Dunia kini adalah pentas transformasi baharu apabila permintaan pengguna untuk produk yang bersih dan selamat meningkat dengan mendadak selepas pandemik. Dengan sekatan yang dikenakan bagi mencegah penyebaran virus ini, perdagangan secara digital telah meningkat apabila pengguna beralih ke atas talian untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan.
Mengambil perspektif perubahan landskap ekonomi, tema WHC2020 “Komuniti Halal Pacu Ekonomi Baharu Dunia” akan menyelami perubahan yang sedang berlaku, transformasi sedia ada dan diperlukan untuk dilaksanakan serta menerokai pelbagai cabaran dan peluang yang timbul dalam konteks pengeluaran dan penggunaan yang mampan.
Persidangan Halal Sedunia tahunan anjuran HDC ini merupakan satu platform pemikiran kepimpinan global yang menghimpunkan komuniti dalam lingkungan ekosistem halal. – Bernama

























