Thursday, June 1, 2023
34.4 C
Brunei

    -

    Industri halal M’sia diunjur berkembang AS$113.2 bilion

    KUALA LUMPUR, 23 MAC – Industri halal Malaysia diunjurkan berkembang sekitar AS$113.2 bilion pada 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya akan terus menambah baik semua komponen ekosistem halal ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam pasaran halal global selain memanfaatkan jumlah penduduk Islam global yang mencecah dua bilion.

    “Dalam mencapai objektif ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya telah memulakan usaha untuk meletakkan industri ini sebagai sektor yang menguntungkan dan berdaya saing, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran HIMP 2030 di Parlimen pada Khamis.

    HIMP 2030 dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

    Tengku Zafrul berkata berdasarkan HIMP 2030, yang bertemakan ‘Ke Arah Halal Malaysia yang Menyerlah di Peringkat Global’, sebanyak 23 inisiatif telah dikenal pasti untuk menambat kukuh tujuh teras strategik dan memanfaatkan peluang serta menangani cabaran.

    “MITI berbesar hati untuk menjadi pemacu strategik HIMP 2030, dengan sokongan pelaksanaan berkesan oleh agensi kami, Halal Development Corporation,” katanya.

    Tujuh teras strategik itu adalah menambah baik polisi dan perundangan yang lebih mesra industri halal; mewujudkan ruang pasaran yang baharu dan lebih luas untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia; mewujudkan kumpulan pakar dan profesional industri halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global serta mempertingkatkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berintegrasi. – Bernama

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menunjukkan Buku Plan Besar Industri Halal 2030 pada pelancarannya di Parlimen kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Budak 3 tahun maut ditikam di Australia

    SYDNEY, 1 JUN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dan seorang lelaki berusia 45 tahun kritikal akibat ditikam dalam kejadian yang berlaku...
    - Advertisment -